Search This Blog

Loading...

Monday, 24 December 2012

GIGI TIDAK TERATUR

Minggu ini kita membincangkan punca dan masalah gigi tidak teratur.Sebelum itu anda perlu mengetahui proses pertumbuhan gigi. Benih gigi susu akan terbentuk pada usia janin antara lima hingga enam minggu dalam kandungan. Pada peringkat itu ibu yang mengandung perlu mengambil makanan yang mengandungi banyak zat kalsium dan posphorus bagi menguatkan benih gigi itu.

Gigi susu yang pertama tumbuh pada usia lima bulan.Ia tumbuh secara berperingkat sehingga mencapai dua tahun.Rahang mulut juga turut membesar untuk memberi ruangan kepada pertumbuhan gigi susu. Gigi kekal mula membentuk apabila anmda berumur antara 11 hingga 13 tahun.

Selain berfungsi mengunyah makanan,gigi susu mempunyai peranan yang lebih penting iaitu memberi ruang kepada gigi kekal yang bakal tumbuh.Gigi susu akan tanggal secara berperingkat dan ia akan diganti dengan gigi kekal. Oleh itu, sekiranya gigi susu tanggal sebelum waktunya atau terlalu awal, gigi kekal yang bakal tumbuh tadak mempunyai ruang seperti sepatutnya. Ini akan menyababkan ia tumbuh dalam keadaan tidak teratur. keadaan itu disebut sebagai masalah maloklusi.

Keadaan gigi tidak teratur disebabkan sikap anda yang tidak mengambil berat kesihatan gigi. Ia juga menyebabkan pertumbuhan kalkulus. Kalkulus ialah sisa makanan yang terlekat di celah gigi. kedudukan gigi yang tidak teratur menyebabkan gigi sukar dibersihkan. Sisa makanan itu lama kelamaan akan menjadi keras. Akibatnya anda akan menghadapi masalah radang gusi. Gusi anda bengkak dam mudah berdarah. Radang itu disebabkan toksin daripada plak atau sisa makanan.

Masalah kalkulus yang serius akan merosakkan ligamen yang mengukuh ikatan gigi dalam tulang rahang. Penyakit gusi juga menyebabkan penyurutan tulang rahang(tulang alveolus) sedikit demi sedikit sehingga menyebabkan gigi menjadi longgar.Dalam keadaan begini mulut anda juga turut berbau busuk. Tanpa rawatan awal, gigi longgar sudah tentu tidak boleh diselamatkan lagi.
 
Halitosis
Dr. Yun Rohani Shaffie
Nafas berbau juga dikenali dengan nama Halitosis. Halitosis berasal daripada perkataan Latin; halitus bermakna nafas dan 'osis' bermakna 'keadaan'. Ini sekali gus membawa maksud keadaan nafas yang kurang menyenangkan.

Selain punca nafas berbau daripada keadaan mulut yang kering, ia juga disebabkan oleh beberapa faktor:
a.
Dalam keadaan lama tidak makan dan minum. Contohnya apabila anda bangun pagi atau ketika menjalani ibadat puasa.
b.
Mengalami penyakit gusi( akibat kehadiran kalkulus).
c.
Gigi yang mengalami kerosakan dan masih menjalani rawatan.
d.
Ulser atau infeksi dalam mulut.
e.
Menggunakan gigi palsu yang tidak dijaga kebersihan.
f.
Mengalami tekanan perasaan (stress) mengakibatkan kekeringan mulut.
g.
Berpunca daripada masalah perubatan seperti penyakit paru-paru, kerongkong, usus dan lain-lain.
h.
Merokok.
Cara mengatasi nafas berbau:
a.
Dapatkan pemeriksaan mulut dan gigi. Pensaleran untuk membuang kalkulus dari permukaan gigi dan rawatan penyakit gusi atau tampalan jika perlu.
b.
Gigi palsu (dentur) perlu dibersihkan dengan sempurna selepas makan.
c.
Memberus gigi dengan baik. Ini termasuk bahagian lidah perlu dibersihkan dengan menggunakan berus gigi.
d.
Elakkan bernafas melalui mulut kerana ia boleh mengeringkan keadaan mulut.
e.
Kerap berkumur dengan air.
f.
Minum air sekurang-kurangnya 6 hingga 8 gelas setiap hari.
g.
Cuba atasi tekanan perasaan anda dengan mengadakan perbincangan atau mendapatkan pertolongan orang lain.

PILIH BERUS GIGI SESUAI

Dulu kita membincangkan mengenal sejarah dan perkembangan berus gigi.

Tetapi ia tidak harus berhenti di situ sahaja. Para saintis barat tidak jemu-jemu berusaha mencipta jenis dan bentuk berus gigi baru yang bermacam rupa.

Cuba anda lihat di pasar raya, pelbagai bentuk berus gigi yang boleh dibeli. Tetapi tahukah anda bahawa berus gigi tidak sekadar direka mengikut hati dan citarasa si pembuat? Ia direka setelah melalui pelbagai penyelidikan. Para pereka yang selalunya terdiri daripada pereka fesyen alat dan para saintis bertengkus lumus memikirkan bentuk berus gigi yang paling sesuai dan menarik minat pengguna. Sebagai contoh, dari segi warna mereka mendapati cita rasa pengguna sudah berubah. Pengguna kini lebih menggemari warna pastel.

Gagang (batang pemegang) berus juga menjadi perhatian. Dahulu bentuk gagang hanya sata, lurus, panjang dan nipis. Kini ia sudah diubah kepada berliku, lurus tebal dan nipis. Semuanya mengikut citarasa pengguna. Penyelidikan juga menunjukkan bahawa bentuk gagang berus penting untuk kumpulan pengguna tertentu.

Orang yang mengalami kecederaan atau kecacatan tangan lebih gemar kepada gagang yang tebal kerana boleh memegangnya dengan lebih selesa. Pengguna lain pula lebih selesa dengan gagang yang lebih nipis, kanak-kanak pula lebih suka dengan gagang gebu dan gemuk.

Kepala berus juga diselidiki oleh para pereka berus gigi. Ada yang berbentuk bujur, berbentuk 'diamond' dan ada pula lurus dan membulat di bahagian hadapan. Bulu berusnya juga sudah diubah dari semasa ke semasa. Dulu kumpulan bulu berus rata dan dibuat daripada nilon putih.

Kini terdapat pula yang mempunyai sebahagian bulu berus (yang terletak di bahagian hadapan) yang lebih panjang dan mempunyai warna pula.

Bahagian yang berwarna dinamakan sebagai 'indicator tip'. Bulu yang demikian sebenarnya hanya sesuai jika anda memberus dengan gaya lingkaran kerana bahagian yang lebih panjang tadi seharusnya masuk ke bahagian saku gusi. Pereka juga tidak ketinggalan mencipta berus gigi yang menggunakan bateri atau bantuan elektrik. Bateri penggerak akan diletakkan dalam gagang berus. Bahagian memberus boleh tanggal, sesuai untuk dibersih setelah digunakan.

Tetapi anda mesti hati-hati tidak meletakkan gagang dalam air secara langsung kerana ia mudah rosak.

Berus begini amat sesusi untuk kanak-kanak cacat atau datuk dan nenek yang sukar menggerakkan lengan dan penggelangan tangan mereka.

Berus gigi manakah yang sesuai agaknya untuk anda? Sebenarnya semua berus gigi mempunyai fungsi yang sama iaitu untuk membersihkan permukaan gigi dan persekitaran mulut daripada dikerumuni oleh plak dan kuman.
Petua memilih berus gigi
Anda mesti memilih berus:
1. Sesusi dengan saiz mulut. Jangan gunakan berus gigi dewasa jika anda masih kecil.
2. Mempunyai gagang yang selesa untuk dipegang. Gagang tidak boleh terlalu
panjang.
3. Mempunyai bulu berus yang lembut atau sederhana lembut.
4. Memberus gigi secara teratur.
5. Memastikan semua permukaan gigi anda telah diberus dengan bersih.
6. Menukar berus gigi sekurang-kurangnya tiga hingga empat
bulan sekali atau apabila bulunya telah lusuh.
7. Jangan lupa memberus gigi sekurang-kurangnya dua kali sehari,
di waktu pagi setelah sarapan dan lebih penting lagi sebelum tidur.
8. Anda juga digalakkan menggunakan ubat gigi berfluorida setiap kali memberus
gigi. Ini akan memhantu menguatkan Iapisan luar gigi anda daripada serangan
asid yang berterusan.

JANGAN TAKUT RAWAT GIGI

Pernahkah anda berasa takut untuk berjumpa doktor gigi? Jangan bimbang, anda bukan berseorangan. Hampir 75% daripada penduduk negara kita yang pernah mendapat rawatan mempunyai perasaan yang sama. Jadi, tidak hairan jika seseorang itu mendapat rawatan gigi setelah merasa sakit dan kadang kala kerosakan giginya pada tahap yang serius.

Doktor gigi terpaksa mencabut gigi yang rosak walaupun ia dapat diselamatkan jika pesakit mendapat rawatan awal di klinik gigi. Ramai daripada rakan anda beranggapan rawatan gigi amat menggerun dan menyakitkan. Perkara itu tidak terjadi jika mereka mengetahui tugas sebenar seorang doktor gigi.

Doktor gigi tidak akan mencabut gigi anda tanpa alasan yang munasabah melainkan jika gigi anda benar-benar tidak dapat diselamatkan.

Anda boleh berkunjung ke klinik gigi untuk mendapatkan rawatan walaupun gigi anda tidak berasa sakit. Doktor akan memeriksa gigi anda dan memberitahu status kesihatan gigi dan persekitaran mulut anda. Doktor gigi juga memberi khidmat nasihat dan rawatan pencegahan pada masa yang sama.

Jika anda berjumpa doktor gigi pada tahap sakit gigi yang amat sangat, anda akan mengalami rasa sakit dua kali ganda daripada biasa. Ini kerana, selain sakit kerana kerosakan gigi, anda juga terpaksa menanggung kesakitan akibat gigi yang dicabut.

Anda mungkin berasa takut semasa duduk di atas kerusi khas ketika mendapatkan rawatan. Tambahan melihat pelbagai peralatan untuk rawatan yang menggerunkan. Contohnya, apabila alat penggerudi digunakan, bunyinya sahaja sudah cukup membimbangkan.

Bagaimanapun rasa takut itu dapat dihilangkan dengan cara memberi keyakinan kepada doktor dan jururawat yang bertugas. Mereka telah dilatih dan mahir menggunakan semua peralatan rawatan dengan cekap. Tugas mereka untuk merawat gigi dan kesihatan mulut anda, bukan untuk menyeksa.

Sebaik-baiknya anda mesti berusaha membayangkan perasaan seronok daripada peristiwa lalu seperti pergi berkelah dengan keluarga. Ini banyak membantu anda meredakan perasaan takut. Anda juga boleh minta penjelasan berkaitan rawatan yang diberikan.
Jika anda mengetahui apa yang dilakukan oleh doktor, ini sekali gus akan mengurangkan perasaan bimbang. Jika anda rasa sakit semasa rawatan dijalankan, beri isyarat kepada doktor yang merawat supaya berhenti seketika dan beritahu doktor tempat yang berasa sakit. Ini dapat membantu doktor gigi mengenal pasti punca penyakit.

Ada jangan sekali-kali merentap alat penggerudi apabila terasa sakit. Ini boleh mengakibatkan mulut anda terkoyak dan berdarah.

ILMU KIMIA DAN SAINS PERGIGIAN



Salah satu bidang sains yang penting ialah ilmu kimia yang berkaitan tentang bahan dan reaksi antara bahan.

Reaksi antara bahan kimia terjadi di mana-mana contohnya, apabila kita makan gula-gula, ia akan dipecahkan kepada pelbagai zat kimia termasuk yang menjadi zat berkhasiat atau sebaliknya.

Ilmu kimia penting dalam kerjaya pergigian kerana doktor pergigian banyak menggunakan bahan kimia dalam kerjanya sehari-hari.

Oleh itu, semua pelajar yang mengikuti bidang pergigian mesti belajar tentang jenis bahan, bentuk dan sifat bahan yang digunakan untuk setiap jenis rawatan yang dilakukan di dalam dan luar mulut.

Sekiranya anda pernah menerima rawatan, doktor gigi akan memberikan suntikan pelalian supaya anda tidak berasa sakit semasa gigi dicabut. Ubat pelali ini dibuat daripada pelbagai jenis bahan kimia sama ada sesuai untuk kanak- kanak, orang dewasa atau mereka yang mengidap penyakit merbahaya.

Kadang-kadang apabila gigi terlalu goyang, doktor tidak menggunakan suntikan tetapi hanya menggunakan bahan pes ataupun bahan semburan (spray).

Tindakan kimia sesuatu bahan kimia itu tidak sama dengan bahan suntikan kerana ia diperbuat daripada bahan kimia yang lain. Kalau adik-adik perlu tampalan gigi yang rosak sedikit, adik-adik perlu perhatikan bagaimanakah warna dan bentuk bahan itu?

Jika ia bahan logam amalgam yang berwarna kelabu, adik perlu perhatikan bagaimanakah ia dibancuh?
Bahan tampalan amalgam memerlukan mesin pengadun untuk mencampurkan bahan logam amalgam kerana ia mengandungi pelbagai logam kimia yang perlu diikat secara kimia sebelum boleh dimasukkan ke dalam kaviti.

Ia juga memerlukan alat yang menyerupai pistol untuk memasukkannya ke dalam kaviti gigi yang rosak.

Apabila telah diadunkan, ia dimasukkan ke dalam kaviti dengan menggunakan sendok lurus plastik. Sejenis alat sinar juga digunakan untuk memastikan bahan itu mengeras. Semua bahan campuran mi memerlukan sukatan khusus.

Ini penting kerana semasa bahan itu diadunkan, hasil tindak balas kimia akan mengeluarkan gas dan bahan toksik lain yang boleh memudaratkan keadaan pesakit.

Selain bahan damar plastik, terdapat juga bahan damar yang khususnya digunakan untuk membuat gigi palsu tetapi sukatan campurannya tidak sama dengan bahan tampalan damar di dalam mulut.

Oleh itu, reaksinya juga berbeza antara satu sama lain. Ini kerana semasa dicampuradukkan ia menghasilkan gas dan bau yang boleh membahayakan pesakit.

Doktor gigi juga mesti mengetahui bahan kimia yang manakah lebih sesuai untuk menghapuskan bakteria pada alatan yang digunakan. Ini bagi mengelakkan peralatan rawatan menjadi mudah rosak.

Selain itu, doktor pergigian juga akan memberikan preskripsi ubat-ubatan kepada pesakit ketika diperlukan. Mereka mesti mengetahui ubat jenis manakah yang perlu digunakan sebagai bahan kumur dan kegunaan luar sahaja.

Jika doktor pergigian tersalah memberi ubat, ia akan membawa padah kepada pesakit dan profesionnya sebagai doktor gigi. Sekiranya anda bercita-cita untuk menjadi seorang doktor pergigian atau perubatan sebagai kerjaya masa depan, anda perlu memupuk minat membaca banyak tentang ilmu kimia. Berikan perhatian apabila guru mengajar mata pelajaran sains di sekolah


GIGI MEMBANTU DALAM PERTUTURAN



Gigi penting untuk menghadamkan makanan. Gigi perlu dijaga dengan baik agar ia kekal sepanjang hayat. Bagaimanapun ramai di kalangan anda yang mengabaikan tanggungjawab untuk menjaga kebersihan gigi. Akhirnya, gigi rosak pada peringkat usia yang masih muda.

Tabiat penjagaan gigi perlu disemai dari sekarang. Selain perlu dibersihkan setiap hari anda juga perlu mengurangkan pengambilan makanan yang mengandungi gula berlebihan.

Mengapa kita perlu menjaga gigi supaya dalam keadaan baik? Selain berfungsi untuk menambah kecantikan, gigi juga bertujuan mengunyah makanan dengan sempurna. Ini bagi memudahkan perut menghadam makanan yang diambil. Gigi juga diperlukan supaya pertuturan menjadi lebih jelas. Gigi membantu lidah dalam membentuk sebutan sesuatu huruf.

Jika anda mempunyai nenek yang telah kehilangan gigi terutama pada bahagian hadapan, perhatikan pertuturannya,adahkah dia berjaya mengeluarkan sebutan huruf dengan jelas? Penjagaan gigi susu juga penting bagi memastikan gigi kekal yang tumbuh dalam susunan yang teratur. Jika gigi ssusu anda tercabut lebih awal daripada masanya, kemungkinan besar anda mengalami masalah gigi yang berlapis.

Dalam keadaan itu makanan yang diambil akan menghadapi masalah penghancuran makanan yang tidak sempurna. Ini memerlukan bahagian perut "bekerja lebih keras" untuk menghadamkan makanan sebelum ditukar menjadi tenaga.Selain itu gigi susu juga memainkan peranan untuk membentuk tulang rahang yang betul.

Pernahkah anda melihat rakan yang tidak mempunyai gigi yang lengkap terutama pada bahagian hadapan? Cuba bandingkan dengan rakan yang mempunyai set gigi yang lebih sempurna. Tidakkah mereka lebih menarik? Gigi merupakan "aksesori" untuk mencantikkan rupa paras kita. Ini terutamanya apabila anda tersenyum.

Klinik pergigian bukan sahaja menyediakan kemudahan rawatan untuk memeriksa gigi yang rosak malahan ia turut menganjurkan aktiviti pendidikan kesihatan gigi kepada anda. Dalam aktiviti itu, jururawat akan menunjukkan kepada anda kaedah memberus gigi yang betul. Pengetahuan ini penting kerana ia akan memastikan sisa makanan yang terlekat di celah gigi dapat dikeluarkan. Ini akan mengelakkan gigi anda daripada dijangkiti karies gigi.

Di samping itu pelbagai aktiviti yang menarik turut dijalankan seperti aktiviti mewarna, petunjukkan boneka, tayangan video dan permainan berunsurkan pendidikan kesihatan gigi. Aktiviti itu bertujuan memberi pendedahan awal kepada anda cara yang betul menjaga gigi supaya gigi anda dapat dikekalkan selama mungkin.

Ini juga untuk memberi pengalaman yang berguna dan untuk mengikis tanggapan selama ini klinik gigi merupakan suatu tempat yang menakutkan. Ibu bapa juga akan mendapat manfaat daripada aktiviti ini kerana penjagaan gigi bukan sahaja tertumpu kepada golongan kanak-kanak sahaja,penjagaan gigi memerlukan perhatian sepanjang hayat.

STRUKTUR GIGI

Bagi anda yang gemar mengambil makanan bergula, perlu lebih berhati-hati kerana kandungan gula dalam makanan itu menjadi punca utama kerosakan gigi. Ia juga menyebabkan gusi anda bengkak dan mulut berbau busuk.

Sebelum membincangkan bagaimana kerosakan itu terjadi, anda perlu mengetahui pembahagian setiap batang gigi.

Gigi terbahagi kepada tiga bahagian iaitu korona, leher dan akar. Korona ialah bahagian yang mudah dilihat apabila anda membuka mulut. Leher dan akar gigi tertanam dalam gusi dan tulang rahang.

Struktur binaan gigi terdiri daripada bahagian berikut:

Enamel -
ialah lapisan gigi yang paling keras; terletak di lapisan luar sekali dan berwarna putih atau kekuningan.

Dentina -
terletak di bawah lapisan enamel dan selalunya lebih lembut dan berwarna kekuningan.

Pulpa -
tisu ini terletak paling tengah sekali dan mengandungi urat saraf dan saluran darah yang membawa makanan untuk gigi.

Simentum -
lapisan nipis inilah yang mengelilingi akar gigi kita. Gigi tidak boleh tegak tanpa sokongan bahagian berikut:

Gusi -
ialah tisu lembut yang mengelilingi leher gigi.

Tulang alveolus -
ialah tulang rahang yang menyokong akar gigi.

Membran Periodontium -
ialah jaringan serat yang menyokong simentum ke tulang alveolus.

Setelah memahami struktur gigi, kita akan membincangkan pembentukan karies gigi. Karies terjadi daripada plak gigi. Plak ialah makanan yang melekat di celah gigi. Ia mengandungi kuman. Kuman itu akan bertindak balas dengan gula yang terdapat dalam makanan yang terselit di celah dan menghasilkan asid. Asid itu akan mrnyebabkan permukaan gigi menjadi lembut dan akhirnya gigi anda berlubang. Keadaan itu dipanggil karies gigi.
Gigi anda akan dicabut jika pembentukan karies gigi itu agak besar. Keadaan karies gigi yang serius boleh menyebabkan anda kehilangan gigi itu.

Sekiranya serangan karies gigi masih ditahap awal iaitu hanya melibatkan bahagian enamel ia masih boleh diselamatkan. Serangan karies gigi dianggap serius apabila ia merebak ke bahagian dentina. Pada tahap itu anda akan terasa sakit kerana ia hampir ke lapisan pulpa yang mengandungi banyak urat saraf yang sensitif.

Jika masih tidak mahu mendapat rawatan daripada doktor gigi, karies gigi itu akan merebak ke saluran pulpa. Ini akan menyebabkan gusi anda bengkak dan bernanah.

Walaupun terdapat kaedah rawatan khas yang dinamakan rawatan endodontik tetapi seringkali kaedah itu gagal menyelamatkan gigi anda. Gigi anda terpaksa dicabut. Anda bertanggungjawab kepada kesihatan gigi.
Anda boleh mengelakkan pembentukan karies gigi dengan mengurangkan makanan yang mengandungi gula. Selain itu, bersihkan gigi setiap kali selepas makan dengan memberus gigi atau sekurang-kurangnya dengan berkumur-kumur. Ini untuk mengelakkan makanan daripada melekat di celah gigi.

PENJAGAAN GIGI ANAK KECIL

Kebanyakan doktor pergigian berpendapat bahawa penjagaan mulut atau gigi bayi dan kanak-kanak seharusnya bermula sebelum gigi pertama tumbuh. Kerosakan atau karies gigi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertama tumbuh dan terdedah kepada persekitaran mulut. Adalah amat penting untuk memastikan bahawa gigi dan gusi dibersihkan secara rutin bagi mengurangkan proses kerosakan.

Pertumbuhan Gigi

Gigi susu pertama mula tumbuh pada usia bayi 6 hingga 8 bulan dan set gigi susu akan tumbuh dengan lengkap ketika umur kanak-kanak mencecah 3 tahun.

Gigi susu bawah depan akan tumbuh dahulu diikuti gigi susu depan atas. Bila semua gigi susu tumbuh, 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang atas dan 10 batang gigi akan berada di bahagian rahang bawah.

Lawatan Pertama Ke Klinik Gigi

Pada Julai 2008, Bahagian Kesihatan Pergigian Kementerian Kesihatan Malaysia telah melancarkan program ' Early Childhood Oral Healthcare Never Too Early To Start' yang mengesyorkan lawatan pertama ke klinik gigi harus bermula semasa bayi berumur enam bulan atau selepas gigi susu pertama tumbuh dan selewat-lewatnya pada umur satu tahun.

Bagaimana Kerosakan Gigi Terjadi?

Penjagaan mulut yang berterusan dan betul adalah penting untuk memastikan kesihatan gigi dan gusi serta mulut yang berbau segar. Jika gigi tidak digosok dengan cara yang betul, satu bahan berwarna kekuningan dan melekit yang dinamakan plak gigi akan terbentuk. Plak mengandungi kuman bakteria akan melekat pada gigi. Bakteria tersebut akan bertindak dengan gula menjadi asid dan akan menyerang dan mereputkan enamel atau lapisan luar gigi. Ini adalah permulaan kepada pembentukan karies gigi. Karies gigi ini sekiranya tidak dikawal akan merebak ke lapisan dalam gigi dan terus mereputkan gigi dan membentuk gigi berlubang. Bakteria di dalam karies boleh terus merebak dan menjangkiti pulpa yang mengandungi saraf dan salur darah gigi. Sekiranya ini berlaku, kanak-kanak tersebut akan merasa sakit gigi dan gigi akan mati. Tanpa rawatan, jangkitan bakteria akan terbentuk di hujung akar gigi dan pembentukan 'abses' atau bisul pada gusi akan berlaku. Lebih teruk lagi sekiranya jangkitan merebak ke ruang tisu muka menyebabkan radang muka atau 'facial cellulitis'.

Apakah Punca Utama Kerosakan Gigi?

Kerosakan gigi boleh bermula sebaik sahaja gigi pertama tumbuh. Oleh itu, adalah penting untuk mengurangkan kerosakan pada gigi anak anda. Penjagaan gigi bermula dengan ibu bapa atau penjaga. Ibu bapa perlu ingat bahawa punca utama kerosakan gigi ialah daripada cairan, air minuman atau pemakanan yang bergula diberi kepada bayi. Faktor penting yang harus dipertimbangkan ialah jenis makanan, berapa kerap ia diambil dan berapa lama makanan tersebut berada di persekitaran gigi di dalam mulut.

Cairan seperti jus buah-buahan, susu ibu, susu lembu, susu formula dan air bergas mengandungi gula tersembunyi. Sekiranya gigi tidak dibersihkan dengan cara yang betul, plak akan terbentuk. Gula yang berada di persekitaran gigi akan dicernakan oleh bakteria yang berada di dalam plak dan mengeluarkan asid yang menyebabkan gigi kanak-kanak mereput atau rosak.
Sekiranya anak anda mempunyai tabiat menghisap botol sepanjang hari, pastikan botol tidak diisi dengan cairan atau jus bergula. Setiap kali anak anda menghisap cairan bergula, asid akan terbentuk di dalam mulut dalam masa beberapa minit. Sekiranya cairan bergula dihisap berterusan, bayangkan asid akan sentiasa berada di dalam mulut dan proses pereputan sentiasa berlaku selama 24 jam! Ibu bapa patut menghadkan pengambilan jus bergula pada waktu makan tengah hari atau makan malam sahaja. Di antara waktu tersebut, cuba isi botol anak anda dengan air masak atau susu. Ibu bapa seharusnya cuba berusaha mengelakkan anak anda dari tidur dengan menghisap botol susu kerana air susu akan berkumpul dengan lama di dalam mulut anak anda dan ini boleh menyebabkan kerosakan gigi dengan cepat. Jika terpaksa, cuba secara perlahan-lahan cairkan kandungan susu di dalam botol dan akhirnya isi botol dengan air masak sahaja.

Kawal Pemakanan Yang Diambil Oleh Anak Anda.

Sudah tentu kanak-kanak sukakan makanan ringan bergula seandainya mereka terdedah kepada gula daripada peringkat bayi lagi. Pembelian makanan ringan bergula harus dijadualkan dan dihadkan pada waktu atau hari-hari tertentu sahaja, contohnya pada waktu tengah hari sahaja selang sehari, atau pada hujung minggu sahaja atau pada hari keramaian. Jika anak anda sudah biasa dengan jadual anda, anda akan dapati kanak-kanak amat memegang pada janji dan ia akan memudahkan penjagaan gigi anak anda. Pastikan juga jadual diikuti dan difahami oleh semua ahli keluarga, keluarga terdekat dan pengasuh anak anda supaya ia menjadi lebih berkesan. Anda boleh mengganti snek makanan bergula dengan snek yang lebih sihat seperti buah-buahan, snek sayuran, kerepek, kekacang, karipap dan sebagainya.

Bagaimana Penjagaan Yang Terbaik Untuk Anak Anda?

Bila memikirkan tentang penjagaan gigi susu, adalah amat penting untuk mengambil kira bahawa gigi susu memegang ruang untuk gigi kekal yang bakal tumbuh. Sekiranya gigi susu rosak dan terpaksa dicabut awal, ruang yang dikhaskan untuk gigi kekal akan hilang dan ruang itu hanya boleh diperolehi semula melalui rawatan ortodontik.

Pembersihan gigi susu bayi harus dimulakan sebaik sahaja gigi susu tumbuh walaupun anak anda hanya minum susu ibu atau susu formula sahaja. Caranya ialah dengan menyapu sedikit ubat gigi berfluorida ke atas kain lembut atau berus gigi bayi dan kemudian disapukan ke atas gigi bayi. Setelah gigi geraham susu mula tumbuh, anda boleh menukar ke berus gigi kanak-kanak yang lembut dan menggunakan ubat gigi berfluorida sebesar biji kacang pea. Jangan lupa untuk mencuci lidah dan gusi di mana bakteria bersembunyi dan menyebabkan mulut berbau. Lakukan 2 kali sehari, sekali pada waktu pagi dan sekali pada waktu malam sebelum tidur. Mencuci gigi dan mulut atau berkumur juga disyorkan pada setiap kali selepas bayi mengambil makanan.


Bilakah anda boleh membiarkan anak anda memberus giginya sendiri?

Sebenarnya, anak anda tidak pandai memberus gigi dengan betul sehingga ia mula pandai menulis dan mula bersekolah. Walau bagaimanapun, adalah baik jika anda memberi anak anda memberus giginya sendiri jika dia mahu. Tetapi setelah itu pastikan anda memeriksa dan memberuskan giginya sekali lagi jika perlu. Berikan pujian kepada anak anda jika dia pandai memberus gigi dan beritahu jika dia tidak memberus di beberapa bahagian gigi. Tunjukkan cara yang betul secara berterusan sehingga anak anda pandai memberus gigi dengan baik.

Gunakan Ubat Gigi Berfluorida

Sedikit fluorida di dalam ubat gigi adalah baik untuk gigi anak anda yang sedang membentuk. Fluorida adalah sejenis bahan mineral menghalang kerosakan gigi dengan menguatkan lapisan enamel gigi dan menyebabkan ia lebih tahan kepada serangan asid yang dihasilkan oleh bakteria. Sesetengah negeri atau daerah di Malaysia menerima bekalan air yang mengandungi tambahan fluorida. Anda boleh bertanya kepada doktor gigi di kawasan anda.

Jika anda tinggal di kawasan di mana saluran airnya tidak mengandungi fluorida, pastikan anak anda menggunakan ubat gigi berfluorida dari peringkat awal lagi. Jika anda tinggal di kawasan air berfluorida, dan anak anda berumur kurang dari 6 tahun, adalah disyorkan anak anda menggunakan ubat gigi yang mengandungi fluorida tidak melebihi 600bpj (bahagian per juta) dan gunakan ia dalam jumlah yang sedikit iaitu sebanyak saiz kacang pea setiap kali memberus gigi. Ini adalah kerana kanak-kanak lebih cenderung menelan ubat gigi daripada meludahnya keluar. Menelan ubat gigi berfluorida dengan banyak dalam masa yang panjang akan menyebabkan terjadinya fluorosis. Sekiranya fluorosis terjadi, ia adalah tidak bahaya dan boleh dirawat. Fluorosis ialah kecacatan kepada lapisan paling luar gigi iaitu lapisan enamel. Fluorosis yang ringan akan menyebabkan garisan atau tompok putih terbentuk pada lapisan enamel dan ianya tidak berapa kelihatan. Fluorosis yang berat akan menyebabkan lekukan kepada enamel dan warnanya menjadi coklat.

Penggunaan Puting

Walaupun penggunaan puting boleh menyebabkan anak anda diam, penggunaannya secara berterusan adalah tidak digalakkan. Kebanyakan kanak-kanak berhenti menggunakan puting dengan sendiri semasa berumur antara 2 hingga 4 tahun. Walau apa pun, penggunaannya seharusnya dikurangkan bila anak anda mencecah umur 3 tahun, dan pastikan ianya tidak digunakan langsung bila anak anda berumur 6 tahun bila gigi kekal mula tumbuh. Ini adalah kerana puting boleh menyebabkan penyusunan gigi kekal tidak rata dan tidak cantik. Sekiranya puting dicelup dengan manisan, ia akan menyebabkan gigi anak anda mudah rosak. Juga pastikan tidak memberi anak - anak menggigit benda-benda keras kerana ia boleh mencederakan gigi dan gusi serta boleh menyebabkan gigi anak anda patah.

Kesimpulan

Penjagaan kesihatan pergigian bayi dan kanak-kanak memerlukan pemerhatian dan penjagaan awal yang teliti serta berkesan. Ia memerlukan ilmu pengetahuan, kesedaran dan keprihatinan daripada pelbagai pihak terutamanya ibu bapa/penjaga. Gigi yang sihat akan menyumbang kepada pertumbuhan kanak-kanak yang sihat dan seterusnya membentuk individu-individu yang cemerlang di dalam pelbagai bidang.